Ikan Zebra Model Haiwan Alternatif Di Dalam Penyelidikan | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Ikan zebra model haiwan alternatif di dalam penyelidikan

Ikan zebra model haiwan alternatif di dalam penyelidikan

Ikan zebra model haiwan alternatif di dalam penyelidikan
 
Tikus makmal sering kali dipilih oleh penyelidik sains untuk menjalankan eksperimen seperti perkembangan vertebrata, toksikologi, penyakit dan farmakologi kerana mempunyai persamaaan biologi dengan manusia. Bagaimanapun, eksperimen saintifik yang melibatkan haiwan adalah mahal, memakan masa, dan menimbulkan kebimbangan etika berhubung dengan kebajikan haiwan. Sebagai tindak balas terhadap isu ini, agensi Perlindungan Alam Sekitar A.S. (EPA) telah mengumumkan untuk menghentikan penggunaan haiwan mamalia seperti tikus dan mencit untuk ujian kimia menjelang tahun 2035.
 
Keputusan tersebut menunjukkan model haiwan alternatif adalah penting untuk menyediakan data berkualiti tinggi dalam kajian toksikologi. Secara amnya, kajian toksikologi merupakan bidang saintifik yang menilai keselamatan aspek biologi, produk, ubat-ubatan dan kesan bahan kimia kepada pengguna. Oleh hal yang demikian, ikan zebra telah muncul sebagai model haiwan yang berpotensi, sejak dua dekad yang lalu di seluruh dunia, terutama di dalam kajian toksikologi.
Hal ini turut diperakukan oleh Profesor Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi, Ketua Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds) di Institut Biosanis (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM). Katanya, ikan zebra mempunyai kesamaan genetik yang besar dengan manusia, dan keunikan seperti kadar pembiakan yang cepat, kebolehulihan untuk diubahsuai secara genetik, kos yang rendah, dan kemudahan pengendalian yang baik berbanding tikus makmal. Penggunaan ikan zebra ini secara tidak langsung membolehkan pengumpulan data saintifik dengan lebih pantas, sesuai dengan kemajuan pesat dalam bidang sains.
Penyelidik bukan sahaja boleh mengurangkan penggunaan mamalia untuk ujian toksikologi, tetapi mereka juga boleh mempercepatkan kemajuan sains dan memberikan lebih banyak pengetahuan tentang bahan kimia yang memberi kesan bahaya kepada makhluk hidup. Selain itu, kajian telah menunjukkan bahawa otak ikan zebra dan mamalia berkongsi sistem neuroanatomikal dan sistem isyarat neuronik asas yang relevan dengan penyakit otak manusia. Ini menjadikan ikan zebra sebagai model yang berguna untuk menilai kecacatan tingkah laku sosial, termasuk autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD).
Penggunaan ikan zebra di dalam kaedah penyaringan inovatif turut berpotensi meningkatkan kejayaan dan produktiviti dalam penyelidikan penemuan dan pembangunan ubat yang berkaitan dengan penyakit otak. Siapa sangka ikan zebra yang bersaiz 2 centimeter (cm) hingga 3.5cm ini membesar melalui pemakanan udang artemia yang perlu direndam dalam air garam selama dua hari sebelum telur udang ini menetas.
Namun demikian, Prof. Madya Dr. Siti Munirah menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian jika ingin menggunakan ikan zebra dalam ujikaji, termasuk pemeliharaan yang baik, kebersihan dan kestabilan persekitaran akuatik, dan pemakanan yang betul.
Beliau juga menegaskan bahawa peraturan ketat diperlukan untuk mengawal penggunaan ikan zebra dalam kajian saintifik bagi mengelakkan ancaman terhadap populasi ikan tersebut. Mengulas berkenaan ancaman populasi, beliau berkata ikan zebra akan mengalami penyusutan populasi sekiranya digunakan secara berleluasa dalam kajian toksikologi tanpa kawalan yang ketat.
Justeru itu, pembiakan ikan zebra di Laboratori Ikan Zebra NaturMeds, IBS, UPM, telah dilaksanakan sejak 2012 untuk meningkatkan populasi ikan tersebut di dalam makmal. Hal ini bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada penyelidik UPM, terutamanya di NaturMeds, untuk melakukan pelbagai kajian termasuk dalam penemuan dadah, neurosains, dan ekotoksikologi. -UPM

Tarikh Input: 29/03/2024 | Kemaskini: 29/03/2024 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEbTAA~