Majlis Graduan Fakulti Pertanian | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Majlis Graduan Fakulti Pertanian

Majlis Graduan Fakulti Pertanian

SERDANG, 24 November - Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) meraikan graduan dan penerima Anugerah Graduan Cemerlang dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang bertempat di Dewan Pertanian UPM hari ini.
Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azura Adam merakamkan ucapan syabas kepada 235 orang graduan Bacelor, 49 graduan Master dan 32 orang graduan Doktor Falsafah yang akan menerima ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UPM Ke-46 Sidang 2 yang akan berlangsung mulai 26 November ini.
 
“Tajaan hadiah telah menggalakkan anak bangsa untuk berusaha mencapai kecemerlangan bukan sahaja dari aspek akademik, malah memberi motivasi kepada pelajar memajukan diri dengan meningkatkan nilai tambah masing-masing”, kata beliau.
Pada kali ini, 3 penaja baharu dari rakan industri iaitu Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd., Humibox Sdn. Bhd. dan Nature Best Sdn. Bhd. turut bekerjasama dengan Fakulti Pertanian untuk menaja hadiah pelajar graduan cemerlang.
Sebanyak 31 hadiah kecemerlangan telah disampaikan iaitu 28 hadiah kategori graduan prasiswazah dan 3 kategori hadiah kepada graduan siswazah.
Pengurusan Fakulti Pertanian merakamkan penghargaan kepada rakan industri, alumni dan persatuan yang komited bekerjama dengan fakulti dan amat signifikan dalam memperkukuhkan lagi usaha universiti dalam melahirkan modal insan pertanian kepada pembangunan negara.
 
Dekan Fakulti Pertanian turut menyampaikan amanat kepada graduan bahawa kejayaan pada hari ini tidak bermakna proses pembelajaran terhenti dan graduan perlu sentiasa mencari ilmu untuk menjadi lebih cemerlang.
“Teruskan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menjadikan kejayaan pada hari ini sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia”, tambah beliau lagi.
Hadiah Pelajar Terbaik Doktor Falsafah Sains Ternakan dimenangi oleh Dr. Danladi Yohanna, PhD Pemakanan Haiwan yang membawa pulang wang tunai dan sijil kepujian tajaan The Holstein Milk Company Sdn. Bhd.
Bagi kategori prasiswazah, Pingat Emas Behn Meyer Agricare tajaan Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd. telah dimenangi oleh Mohamad Hazwan Shariff Mohamed Haniff, Bacelor Sains Pertanian manakala Hadiah Graduan Terbaik, Fakulti Pertanian tajaan Fertilizer Industry Association of Malaysia (FIAM) telah dimenangi oleh Dewa Rajan A/L Chelvan, Bacelor Sains Pertanian.
 
Penaja baharu Nature’s Best Sdn Bhd telah memberikan tajaan bagi Hadiah Kecemerlangan Akademik Nature’s Best yang telah dimenangi oleh Siti Munirah binti Tazidin, Bacelor Sains Hortikultur manakala rakan industri Humibox (M) Sdn. Bhd. telah menaja Hadiah Kecemerlangan Akademik Humibox (Bacelor Sains Pengurusan Perladangan) yang telah dimenangi oleh Ahmad Fauzan Azim bin Mohammed Anuar Mushoddad, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan.
Turut hadir pada majlis itu YB Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah, Penolong Naib Presiden PK Agro Industrial Products (M) Sdn. Bhd, Dr. Chua Chin Kok dari Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd., Prof Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan Prof. Madya Dr. Yuzine Esa, Timbalan Dekan (Pembangunan, Jaringan Industri dan Masyarakat), pengurusan fakulti, pegawai akademik fakulti, ahli keluarga pelajar serta penaja dari rakan industri, persatuan dan alumni.
Selamat maju jaya diucapkan kepada semua graduan Fakulti Pertanian bersempena konvokesyen UPM ke 46.
 
#MajlisKonvokesyenUPM46

Tarikh Input: 29/11/2022 | Kemaskini: 29/11/2022 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEaLAS~