UPM Anjur Program Penanaman Sayur Cilik | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » UPM anjur Program Penanaman Sayur Cilik

UPM anjur Program Penanaman Sayur Cilik

SERDANG, 29 Jan – Fakulti Pertanian (FP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mendekati kanak-kanak autistik khasnya dalam memupuk minat untuk bertani menerusi Program Penanaman Sayur Cilik.
 
Ketua program, Dr. Juju Nakasha Jaafar berkata program ini berjaya menarik penglibatan empat orang kanak-kanak autistik dan lima orang kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun beserta ahli keluarga masing-masing sejak Oktober 2023.
 
 
“Setiap kanak-kanak dan peserta diajar teknik menanam melalui kaedah kotak penanaman dengan menggunakan media tanah campuran yang secara tidak langsung memberikan pengalaman berharga dan pendedahan awal pada peserta cilik.
“Mereka berpeluang menanam, menyelenggara dan menuai sayur-sayuran sendiri di Children and Sensory Garden, Fakulti Pertanian, UPM pada setiap hari Ahad sehinggalah majlis penutup, semalam.
“Program ini turut mendapat sokongan dan penglibatan dari pihak industri menerusi kerjasama dengan Kitosanplus Sdn. Bhd. dan Trio Garden Supplies Sdn. Bhd.,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, FP UPM.
 
 
Selain itu, beliau berkata program ini turut menjadi platform kepada mahasiswa di bawah program Bacelor Sains Hortikultur dengan Kepujian untuk berkhidmat dan menyemai rasa tanggungjawab kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Pembangunan, Jaringan Industri dan Masyarakat, FP, UPM, Prof. Madya Dr. Yuzine Esa berharap agar program ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi memupuk perasaan cinta akan pertanian sejak awal lagi. – UPM

Date of Input: 05/02/2024 | Updated: 05/02/2024 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEbRAL~