| FAKULTI PERTANIAN

USAHA MENINGKATKAN PENGELUARAN PADI DI TITI SERONG, PERAK

TITI SERONG, 30 Mei - Fakulti Pertanian, UPM  dengan kerjasama IADA Kerian dan Jabatan Pertanian telah mengadakan Klinik Pengembangan Putra dalam skop menyediakan khidmat nasihat pengurusan tanaman padi bertempat di Pusat Kecemerlangan Tanaman Padi, Titi Serong, Perak. Program ini dijalankan selama satu hari dengan tema Padi Sihat Hasil Meningkat.

IADA Kerian salah satu kawasan jelapang padi yang terpenting di Malaysia yang meliputi kawasan operasi tanaman padi adalah seluas 28,488 hektar daripada 30,560 hektar kawasan pertanian. Masalah utama yang dihadapi oleh pesawah di kawasan ini adalah  serangan penyakit karah.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberi latihan dan tunjuk ajar dalam pemindahan teknologi dan keusahawanan secara berinteraksi antara pakar dengan pesawah, usahawan padi dan pegawai pengembangan bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan pendapatan.

Seramai 350 peserta yang terdiri daripada 265 penanam padi dan usahawan padi serta 85 pegawai IADA telah menyertai program ini. Manakala pihak Fakulti Pertanian telah menghantar seramai 11 pakar dalam pelbagai bidang dan 4 kakitangan sokongan.

Sebanyak empat tajuk berkaitan tanaman padi iaitu Penyakit Tanaman Padi dan Kaedah Kawalannya, Perosak Tanaman Padi dan Kaedah Kawalannya, Kawalan Rumpai dan Padi Angin, Pembajaan Tepat Tanaman Padi dan Pengurusan Tanah dan Air telah diperbincangkan secara serentak dimana peserta dibahagikan dalam beberapa kumpulan dan akan mengikuti kesemua tajuk yang diberikan mengikut jadual yang telah diaturkan.

Klinik Pakar Pertanian juga turut diadakan yang merangkumi bidang tanaman, teknologi pertanian, kesuburan tanah, penyakit dan perosak tanaman serta akuakultur. Pameran poster dan produk berkaitan tanaman padi juga turut dipamerkan oleh pihak Fakulti Pertanian, UPM dan IADA Kerian.

En. Zahimi Hasan, Pengarah IADA Kerian, Perak dan Prof. Madya Dr. Che Fauziah Ishak, Timbalan Dekan (Akademik, Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pertanian, juga turut serta dalam menjayakan program ini.

Program susulan ke lapangan akan dibuat dari masa ke semasa oleh pakar dari Fakulti Pertanian bersama Pegawai IADA Kerian bagi memastikan segala teknologi yang berikan dilaksanakan oleh pesawah.


Prof. Dr. Dzolkifli Omar berinteraktif dengan peserta dalam membincangkan masalah perosak tanaman padi dan kawalannya.



Sesi penerangan bersama peserta mengenai perosak tanaman padi dan kawalannya


Sesi penerangan bersama peserta mengenai perosak tanaman padi dan kawalannya


SXDdTAg~