| FAKULTI PERTANIAN

Simposium Antarabangsa Interaksi Tumbuhan dan Tanah Berasid

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam
 
 
PUTRAJAYA - Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Malaysian Society of Soil Science (MSSS), Jabatan Pertanian  Malaysia (DOA), dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengadakan The 10thInternational Symposium on Plant-Soil Interactions at Low pH (10th PSILPH 2018) di sini baru-baru ini.
 

Simposium bertemakan Achieving Sustainable Agriculture Production on Acid Soils itu dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, yang turut melancarkan beberapa buku keluaran penerbit UPM. Simposium itu diadakan tiga tahun sekali itu dan kali ini UPM dipilih sebagai tuan rumah.

 
Simposium itu memberi tumpuan kepada bagaimana meningkatkan hasil pertanian pada tanah bermasalah seperti tanah berasid. Walaupun terdapat pelbagai teknik moden seperti hidroponik, aeroponik dan akuaponik, penanaman atas tanah masih menjadi keutamaan untuk menampung keperluan bekalan makanan dunia.
 
Selain itu, interaksi antara tumbuhan dan tanah itu sendiri adalah unik dan kompleks. Tumbuhan mendapat sokongan dan nutrisi yang diperlukan daripada tanah, manakala makro-mikro organisma dalam tanah memerlukan sumber makanan daripada tumbuh-tumbuhan.
 
 
Ucaptama simposium ini disampaikan oleh Prof. Dr. Leon V. Kochian (Global Institute for Food Security, University of Saskatchewan, Canada), Prof. Emeritus Dr. Lynette K. Abbott (University of Western Australia, Australia), Prof. Dr. Toru Fujiwara (University of Tokyo, Jepun) dan Prof. Dr. Mohamed  Hanafi Musa (UPM).
 

Pengerusi symposium, Prof. Madya Dr. Radziah Othman berkata simposium itu membuka peluang kepada semua individu, sama ada pendidik, ahli sains, industri dan pengusaha pertanian berkongsi maklumat berkaitan masalah tanah berasid. Peserta antarabangsa adalah dari Kanada, Slovakia, Poland, Kenya, Hungary, Sri Lanka, India, Pakistan, Bangladesh, Jepun, China, Pakistan, Guam-USA, Vietnam, Filipina, Australia dan Indonesia. Agensi seperti Lembaga Koko Malaysia (LKM), IADA, MADA, DOA, SALCRA, FGV dan Sime Darby Plantation turut menyertainya.

 
Malaysia adalah negara yang berjaya menguruskan tanah berasid dengan baik untuk tanaman makanan dan perladangan yang boleh dijadikan panduan oleh negara lain. Simposium ini juga menjadi tempat bagi syarikat serta individu memasar peralatan dan produk seperti baja.
 
Sekretariat simposium, Dr. Daljit Singh Karam, berkata simposium itu diadakan selama empat hari termasuk lawatan ke Melaka untuk melihat profil tanah terluluhawa dan berasid selain menikmati keindahan Melaka sebagai bandar bersejarah.
 
Simposium seterusnya (11th PSILPH 2021) akan diadakan di Nanjing, China. - UPM
 
 

SXESUAV~