| FAKULTI PERTANIAN

Putra Garden Café K-Shoppe MyAgrosis UPM mula operasi Mac lalu

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 8 Ogos – Putra Garden Café K-Shoppe MyAgrosis UPM mula beroperasi 1 Mac lalu dengan dikendalikan tiga peserta program Inkubasi Usahawantani, Fakulti Pertanian,Universiti Putra Malaysia (UPM).

Felo Perunding Kanan, Unit Inkubasi Usahawantani UPM, Sahbani Saimin berkata mereka diberi masa dua hingga tiga tahun menguruskan projek itu sebelum meneruskan perniagaan di luar UPM.

Katanya, peserta dikehendaki menyediakan modal sendiri untuk operasi projek berkenaan dan perlu membayar sewa bulanan kepada UPM.

Projek itu yang terletak di Fakulti Pertanian dibangunkan dengan kos RM313,316.20 menggunakan peruntukan Fakulti Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Putra Garden Café K-Shoppe MyAgrosis UPM adalah satu daripada program National Blue Ocean Strategy antara UPM, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kelab MyAgrosis pula dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012.

Program itu menyokong dasar negara untuk melahirkan usahawan siswazah di semua universiti awam berasaskan bidang pertanian selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil pertanian yang lebih konsisten melalui penggunaan teknologi terkini serta membantu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.



Sahbani berkata Putra Garden Café K-Shoppe MyAgrosis UPM adalah satu daripada projek Kelab MyAgrosis yang dijadikan sebagai ‘showcase’ perniagaan komersil bagi Kelab MyAgrosis UPM.

Katanya, ia berperanan sebagai pusat jualan pelbagai produk UPM yang secara langsung akan menawarkan produk UPM kepada komuniti, meningkatkan imej UPM sebagai universiti yang boleh menghasilkan produk yang boleh dikomersilkan dan sebagai pusat mempromosikan produk UPM melalui aktiviti promosi secara berkala.

Ia juga sebagai pusat latihan dan pembelajaran secara komersil bagi pelajar program keusahawanan UPM dan sebagai pusat melaksanakan pelbagai penyelidikan dalam bidang pemasaran, katanya. – UPM.




SXDdBAk~