Bajet 2017 Perlu Atasi Ketidakpastian Kerja, Pengangguranc | FACULTY OF AGRICULTURE
» ARTICLE » Bajet 2017 perlu atasi Ketidakpastian Kerja, Pengangguranc

Bajet 2017 perlu atasi Ketidakpastian Kerja, Pengangguranc

Laporan The State of Households II yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan trend peningkatan kadar pengangguran bagi kumpulan yang berusia 20 hingga 29 tahun.

Sebagai contoh, pada 2015, kadar pengangguran bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun adalah 3.5 peratus, lebih tinggi berbanding dengan kadar pengangguran nasional pada 3.1 peratus.

Isu pasaran buruh dan kadar pengangguran dalam kalangan belia kurang mendapat perhatian kerana ‘kesihatan' sesebuah ekonomi itu selalunya diukur dengan melihat kepada kadar pengangguran nasional.

Oleh itu, perlulah ditegaskan bahawa kadar pengangguran nasional bukanlah petunjuk yang sempurna untuk menggambarkan prestasi pasaran buruh. Perkara bersifat agregat yang menyembunyikan banyak perkara.

Peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia mempunyai perkaitan rapat dengan peningkatan kadar ketidakpadanan kemahiran ke bawah atau downward skill-mismatch. Keadaan ketidakpadanan ini merujuk kepada situasi di mana pekerjaan kurang mahir diisi oleh buruh berkelayakan akademik lebih tinggi.

Saiz ketidakpadanan besar

Tambahan lagi, saiz ketidakpadanan pekerjaan jenis ini di Malaysia agak besar bagi kategori pekerjaan Perkeranian dan Sokongan' serta Pekerja Perkhidmatan dan Jualan.

Contohnya, perangkaan pada 2014 menunjukkan sebanyak 24 peratus daripada kumpulan buruh kategori pekerjaan ‘Perkeranian dan sokongan' mempunyai diploma dan ijazah. Daripada kadar itu, sebanyak 13 peratus ketidakpadanan ini membabitkan golongan belia yang berumur 20 tahun hingga 29 tahun.

Pertumbuhan ekonomi memberi kesan yang terhad dalam mengurangkan bilangan mereka yang tergolong dalam ketidakpadanan kemahiran. Antara tahun 2011 hingga 2014, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan pada kadar purata 5.4 peratus setahun.

Sementara itu, bilangan buruh yang mempunyai diploma dan ijazah bagi kategori ‘Perkeranian dan sokongan' pula dianggarkan meningkat sebanyak empat peratus daripada 20 peratus pada 2011 kepada 24 peratus pada tahun 2014.

Hal ini memberi petunjuk bahawa pasaran buruh kurang efisyen dalam mencipta peluang pekerjaan yang selari dengan kemahiran dimiliki oleh golongan belia. Ketidakcekapan pasaran buruh ini memerlukan perhatian serius daripada pihak penggubal dasar.

Kenal pasti ketidakpadanan kerja kemahiran belia

Oleh itu, kajian dan penelitian khusus perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca ketidakpadanan kemahiran ini dalam kalangan belia. Adakah ianya disebabkan oleh masalah struktur ekonomi atau pengaruh lain seperti kadar kebolehpasaran graduan.

Lebih penting lagi, persoalan mengenai ketidakpadanan dan pengangguran dalam kalangan belia perlu diberi perhatian di dalam penyediaan kerangka Bajet 2017. Strategi dan usaha untuk mengurangkan kadar ketidakpadanan dan pengangguran perlu ditangani kerana ianya berkait rapat dengan isu sosioekonomi.

Ketidakpadanan pekerjaan bermakna gaji dan upah buruh di bayar lebih rendah walaupun mereka mempunyai kelayakan gan akademik yang lebih tinggi. Seterusnya faktor gaji dan upah yang rendah akibat ketidakpadanan ini secara tidak langsun turut menjadi faktor penyumbang kepada bebanan hidup akibat peningkatan kos sara hidup.

Dr. mohd Yusof Saari
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan,
Universiti Putra Malaysia (UPM).

Updated:: 20/04/2017 [aswani]

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-8947 4801
+603-8940 8319
C1511375772