Penganjur & Tempat

 

 

Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Malaysia

UPM merupakan salah sebuah Universiti penyelidikan yang terunggul di Malaysia. Entiti akademik yang terkenal di seantero dunia ini terletak di Serdang, iaitu bersebelahan dengan Wilayah Pentadbiran Putrajaya. UPM telah diiktiraf oleh badan bebas penilaian kerajaan sebagai salah sebuah Universiti yang menerajui bidang penyelidikan dan akademik. Ia ditubuhkan pada tahun 1931 sebagai Sekolah Pertanian, dan kini telah berjaya menggabungkan kemudahan moden dan pendekatan penyelidikan yang dinamik dalam pengajian dan kajian serta didokong oleh perkhidmatan dan reputasi kejayaan yang cemerlang di persada antarabangsa. UPM telah berjaya menyatukan para pelajar dan warga kerja dari serata dunia sekaligus menjadikan UPM sebuah entiti global yang amat disegani. UPM juga merupakan pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.

 

 

Program IASS ke-7 ini dianjurkan oleh Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI).

Fakulti Pertanian adalah satu daripada tiga fakulti pengasas dalam penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia ) pada 1971. Sebagai fakulti pertanian terunggul di negara ini, maka Fakulti Pertanian mempunyai peranan utama untuk menangani secara langsung masalah pertanian semasa negara serta prospek pembangunan industri pertanian dalam jangka masa panjang terutama kepada program latihan sumber manusia dengan tenaga terlatih yang terdiri daripada graduan yang berpandangan jauh ke hadapan dan berupaya bersaing dalam arena industri. Berlandaskan sistem pendidikan negara, Fakulti Pertanian berusaha mengeluarkan pakar pertanian terlatih, berciri keusahawan dan berupaya mengendalikan perundingan di mana saja, di samping menghasilkan teknologi pertanian baru dan tinggi, hasil dari program penyelidikan dan pengkomersilan.